haniksam

haniksam

Tuesday, 1 March 2011

PENGARUH MUZIK REMAJA KOREA........

         Hari berganti hari berganti minggu berganti bulan dan seterusnya berganti tahun begitu juga halnya dengan usia. Anak-anak seramai enam orang, tiga orang sudah bekerja, yang satu-satunya perempuan itu sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaraan Malaysia, seorang lagi ditingkatan lima dan sikecil Little Hidayat ditingkatan satu. Berbeza keadaannya jika dibandingkan dengan masa mereka masih kecil, selangkah keluar dari rumah semuanya hendak ikut sama tetapi kini mereka lebih suka duduk dirumah walau diajak keluar makan sekalipun. Melayari internet, menonton TV dan mendengar muzik adalah aktiviti hujung minggu mereka. Anak-anak sekaranglah katakan, susah nak cari anak yang pandai berbudi kepada tanah, paling tidak tanam serai sebatang atau batang ubi ada juga faedahnya daripada menyeksa mata depan HD, LCD dan semua yang ada D dihujungnya, menyeksa telinga dengar muzik sambil kepala angguk-angguk. 
        
          Pagi Ahad lepas sendirian dibandar, tujuannya ialah pergi tengok kain  baju melayu dan baju kurung untuk anak-anak. Sudah menjadi kebiasaan arwah mak, persediaan awal untuk hari raya dibuat  seawal tiga atau empat bulan sebelum bulan puasa kerana adik beradik ramai, gaji bapa ketika itu pun bukan besar sangat. Kebiasaan arwah mak  cuba dipraktikkan tahun ini, biasanya membeli-belah disaat akhir buat kepala pening. Jam 9 pagi sudah terasa panasnya, kedai tekstil yang pemiliknya sudah beberapa tahun dikenali adalah destinasi, tidak perlu buang masa. Masuk saja  dikedai, kedengaran lagu yang dimainkan berlainan sekali. Pengurus kedai keturunan India Muslim dari Kerala umur separuh abad sedang anguk-anguk geleng-geleng. Dulu muzik yang biasa kedengaran ialah lagu-lagu dari filim Hindi seperti Mann, Devdas dan Mohabatein dari buka kedai sampai tutup kedai lagu itulah diulang-ulang. Tapi sekarang kedai tekstil sudah main lagu "Mystery" yang dinyanyikan oleh Beast, sekumpulan remaja Korea.

          Lepas beli kain, terasa pedih perut dalam hati pekena teh tarik dan roti canai dulu sebab belum sarapan pagi. Roti di Restoran Mama's Kitchen boleh tahan juga jika dibandingkan dengan restoran India Muslim yang lain. Hari itu kawasan bandar sesak  dan restoran tersebut juga penuh. Ini mungkin disebabkan para pegawai dari Semenanjung yang terlibat dalam lawatan PM sempena penutupan Hari Wilayah serta pelawat dari Sabah dan Sarawak masih berada di Labuan. Sebagai pelanggan tetap, Salim nama pemilik restoran tersebut akan sedaya upaya menyediakan satu meja dan kerusi untuk sipelanggan tetap ini bersarapan.  Seperti pengurus Modern Bazaar, Salim juga memainkan lagu "Supa Love" yang dinyanyikan kumpulan lain remaja Korea. Menjawab pertanyaan mengenai trend muzik direstorannya, Salim menjawab"Ini muzik baguslah kaka, kita goyang sikit badan, macam exercise juga, kita pun nampak muda juga". Oh! macam tu kah, dengar lagu remaja Korea, goyangkan badan dan nampak muda.

           "If" and "only if"  Little Hidayat dan kawan-kawan boleh hafal membaca Surah Al-Baqarah dan Surah Al-Emran seperti menyanyi lagu-lagu Korea yang langsung tak tahu makna, alangkah baiknya.......



           

1 comment: