haniksam

haniksam

Wednesday, 29 February 2012

Bila "Om Gere Gere" dari Timoer Leste kata lelaki Malaysia kurang romantis....

Beban kerja sejak tiga minggu lepas amat memenatkan. Hari ini cuba merehatkan otak, kalau boleh tak nak sentuh apa pun kecuali tugas yang mudah saja. Dalam timbunan akhbar dan majalah diatas meja sisi, secara random ambil satu, terbaca kisah mengenai pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki SPM tahun ini lari mengikut kekasih yang dipercayai warga Pakistan pada hari kekasih. Sebelum ini pun kita sudah pernah mendengar cerita yang sama cuma yang berbeza ialah lelaki sebelum ini berasal dari Lombok, Indonesia dan Nepal.

Kenapa sigadis yang rata-rata  berumur belasan tahun ini sanggup  meninggalkan keluarga hanya kerana seorang lelaki yang mereka sendiri tidak pasti samada masa depan mereka akan terjamin jika mereka berkahwin. Adakah kes seperti ini disebabkan hubungan anak dan ibubapa terlalu longgar kerana ibubapa sibuk mencari nafkah dan hanya memikirkan untuk membesarkan anak-anak dengan memberi mereka makan tanpa memikirkan hubungan kasih sayang yang menyebabkan mereka langsung tidak peduli teguran dan nasihat ibubapa. Beranggapan tidak mendapat perhatian dari ibubapa anak-anak merasa tertekan dan menyelesaikan masalah dengan mencari teman yang boleh menghiburkan. Kalau berlibur dengan warga tempatan lain cerita, tapi kalau terjumpa mat-mat Bangla, Pakistan, Nepal, mereka sebenarnya mencari peluang untuk tinggal dinegara ini dan mencari pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan lumayan dengan cara berkahwin dengan gadis tempatan.

Teringat kata-kata seorang tukang kebun yang berasal dari Timoer Leste. Dulunya  Timoer Leste milik Indonesia. Katanya lelaki Malaysia ini kurang romantis jika dibandingkan dengan lelaki Indonesia. Bukan hanya itu mereka kurang jujur, tidak ikhlas dalam perhubungan, tidak pandai merayu, hanya pandai mendongak tetapi tidak pernah menundukkan kepalanya. Apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh si Om dari Timoer Leste ini?  entahlah... 

Gambar hiasan - jejaka Timoer Leste


Apa kelebihan lelaki warga asing ini? Romantis? Apakah dengan bersikap romantis  kita boleh meneruskan kehidupan? Bila sudah beranak pinak hilang romantis, masalah timbul, mula mempertikaikan perbezaan budaya dan bila perpisahan berlaku perebutan hak penjagan anak dan bermacam lagi masalah sosial. Fikirkanlah...Allah Taala bagi otak gunalah sebaik-baiknya...





Thursday, 9 February 2012

Sabah & Sarawak tidak mustahil keluar dari Malaysia....W.P.Labuan bagaimana ?

Ketika menyusur dibeberapa blog, saya terbaca beberapa posting yang menyentuh isu yang sama iaitu mengenai Negeri Sabah dan Sarawak, mengenai perjanjian kemasukan kedua-dua negeri tersebut dengan Malaya dan menjadikannya sebagai negara Malaysia dan kemungkinan untuk keluar dari Malaysia mengikuti langkah Singapura. Isu lain  mengenai percubaan menghidupkan parti USNO yang dipelopori oleh Allahyarham Tun Mustapha. Diantara yang menarik perhatian saya ialah
tulisan dibawah ini:

 
Kemungkinan bahawa Sabah dan Sarawak akan keluar dari Malaysia adalah kesinambungan daripada kisah pengeluaran Singapura pada tahun 1965 daripada persekutuan dan keengganan Brunei untuk menjadi sebahagian daripada persekutuan.
Pengeluaran Singapura telah mengubah maksud “Persekutuan” dalam Pelembagaan yang merendahkan status Sabah dan Sarawak daripada perkongsian yang saksama menjadi hanya salah satu daripada negeri-negeri dalam Persekutuan.

Kesimpulannya, Persekutuan Malaysia juga tidak lagi wujud pada 1965 selepas keluarnya Singapura dan Persekutuan Malaya yang tidak berfungsi pula muncul sebagaiPersekutuan Malaysia baru.
Hasil daripada perubahan besar dalam kekayaan, kerajaan Persekutuan enggan atau tidak nampak sebab untuk menerima terma-terma yang ada dalam Perjanjian Malaysia yang dibuat pada 1963. Di bawah perjanjian inilah Sabah dan Sarawak bersama Singapura dan Brunei (tidak menerima) dan Malaya bersetuju untuk membentuk Persekutuan Malaysia.
Kerusi Singapura di ambil begitu juga dengan minyak
Dengan keluarnya Singapura, Malaya telah mengambil 15 kerusi dalam Parlimennya dan ia tidak diberi kepada Sabah dan Sarawak.
Apa yang dipersetujui pada 1963 adalah Malaya akan mempunyai kurang daripada 2/3 daripada kerusi dalam Parlimen demi memastikan wilayah lain dalam persekutuan – Sabah, Sarawak, Brunei akan mempunyai kuasa veto.
Hari ini, Malaya mempunyai lebih daripada 2/3 daripada kerusi dalam Parlimen- 165 vs 57 termasuk Labuan berbanding Sabah dan Sarawak. Inilah sebabnya mengapa agak lemah alasan untuk Sabah dan Sarawak untuk terus berada dalam Persekutuan Malaysia.
Semua ini juga akan menjadi lebih getir sekiranya debat mengenai royalti minyak untuk Sabah dan Sarawak dibuka semula.
Perjanjian yang berat sebelah pada 1976 menyaksikan kerajaan Persekutuan dan Petronas , syarikat minyak negara memberi hanya 5% daripada royalti minyak dan gas daripada telaga minyak untuk kawasan persisiran laut. Sedikit daripadanya sudah kering atau semakin mengering. Tiada pula yang diperolehi daripada telaga minyak yang berada di laut dalam.
Disebabkan ini juga, Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun ini telah menjadi antara negeri termiskin di Malaysia.
Sekiranya dikaji balik kini, 5% royalti itu tetap tidak bermakna sekiranya telaga di laut dalam tidak termasuk dalam pengiraan.
Sekiranya juga pengkajian semula royalti minyak dibuat, ia harus dilakukan mengambilkira dari tahun 1976 semasa penipuan itu berlaku. Kadar faedah juga harus dibayar begitu juga dengan 8% berkanun setahun serta dikompaun setiap tahun.
 "Berapa lama mereka boleh senyapkan Sabah dan Sarawak?"
Ini adalah situasi di mana Kerajaan Persekutuan yang ditadbir UMNO tidak akan menerima walau sejuta tahun sekalipun kerana kekayaan itu telahpun ditelan mereka sejak 1976 lagi ataupun disimpan untuk kegunaan hari esok mereka dan generasi mereka.
Malaysia akan menjadi bankrap sekiranya Sabah dan Sarawak menuntut hak mereka ke atas isu royalti minyak. Ia bukanlah bermaksud jalan buntu untuk mereka.
Contohnya adalah seperti Timor Leste, Acheh dan Sudan Selatan- isu yang berlarutan mengenai Darfur dan Kordofan Selatan- semuanya adalah mengenai minyak. Sejarah membuktikan bahawa undang-undang antarabangsa akan berpihak kepada Sabah dan Sarawak. Timor Leste dan Sudan Selatan menjadi bebas melalui campur tangan Majlis Keselamatan PBB sementara Acheh mendapat autonomi. Isu ini masih lagi dalam proses penyelesaian di Darfur dan Kordofan Selatan.
Adalah tidak benar bahawa hanya negeri yang boleh membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan PBB. Mana-mana parti juga boleh melakukannya seperti yang dibuat oleh parti pembangkang Syria yang sekarang dalam perbincangan di Majlis itu. Hanya masa yang menentukan bila Sabah dan Sarawak akan membawa isu royalti minyak mereka kepada Majlis Keselamatan PBB. Putrajaya tidak harus terus bergantung kepada Sabah dan Sarawak selamanya.
Sekarang anda faham mengapa Taib Mahmud dan Musa Aman sangat berkuasa?
Sebab hasil yang mungkin adalah Sabah dan Sarawak akan keluar daripada Malaysia. Hanya kebebasan daripada Malaysia yang akan membawa Sabah dan Sarawak kepada nasib sebenar mereka di komuniti antarabangsa.
Maka tidak hairanlah Ketua Menteri Sarawak seperti Taib Mahmud dan Sabah seperti Musa Aman telah dibiarkan untuk terus merompak negeri mereka walaupun banyak laporan dibuat dan juga beserta bukti rasuah termasuk mencuri tanah, pembalakan dan merogol wanita peribumi oleh pekerja syarikat-syarikat kroni mereka.
Tanpa mereka untuk mengawal kemaraan orang Sarawak dan Sabah, kedua-dua negeri itu berkemungkinan sudah lama keluar daripada Malaysia akibat dibuli UMNO.

Saya terfikir sendiri, apakah kelebihan yang kita dapat sebagai anak jati dengan menjadikan Labuan ini berstatus 'Wilayah Persekutuan"? Bagaimana dengan generasi kita seterusnya, apakah peluang yang mereka ada? Kalau difikirkan ianya menakutkan.....  

Wednesday, 8 February 2012

Golongan duduk atas pagar......

 Pelbagai pendapat atau definasi apabila diajukan topik mengenai 'golongan atas pagar'. Sikap berkecuali golongan ini menyebabkan mereka dilabel sebagai golongan yang tidak mempunyai prinsip hidup, golongan yang tidak mampu memilih jika ada dua atau lebih kemungkinan, tidak berupaya membuat keputusan, golongan yang diibaratkan seperti lalang iaitu  tumbuhan yang mempunyai banyak kelemahan seperti dalam kiasan dan peribahasa Melayu  serta banyak lagi yang lain yang hanya dilihat dari sudut negatif. 

Dizaman Rasulullah SAW, golongan ini memang sudah ujud. Jika diimbas kembali kisah fitnah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman  disini  ada dikalangan para sahabat Rasulullah bersikap berkecuali dan mengelak dari menyebelahi mana-mana pihak, ini  termasuklah tidak mencampuri pertelingkahan diantara Saidina Ali dan Saidatina Aisyah sehingga kedua-dua pihak terjerumus dalam Perang Jamal. Pendirian ini diambil adalah sebagai langkah berhati-hati dan tidak mahu terlibat dalam fitnah, serta mereka ini juga menghadapi kesukaran menentukan pihak mana yang benar dan yang salah.

 Kita wajar menghormati pandangan dan pendirian golongan 'duduk diatas pagar' ini. Golongan ini lebih kepada bertindak sebagai pemerhati daripada melibatkan diri dalam apa jua keadaan atau aktiviti yang boleh menyebabkan keadaan keruan atau tidak menentu. Walaupun terdapat setengah golongan masyarakat berpendapat golongan ini adalah golongan yang penakut, bacul atau istilah 'coward' dan tidak ada halatuju dalam kehidupan tetapi ada kemungkinan juga golongan ini adalah terdiri dari orang yang kuat berfikir dan dalam kategori orang yang tidak terburu-buru....