Ahli akademik Prof Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusof menyindir Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang membuat kenyataan memperkecilkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Menerusi Facebook peribadinya, Dr Mohamad Agus meminta supaya debat diantara Dr Mahathir dan Ahmad diadakan untuk mencari siapa sebenarnya yang tidak faham dalam isu GST.
"Apabila Datuk Ahmad Maslan cakap Tun Mahathir tidak faham GST, saya fikir ada baiknya kedua-dua pemimpin ini berdebat secara terbuka.
"Saya ingin melihat siapa yang lebih faham.
"Yang pastinya saya tidak rasa GST menyebabkan harga barang turun seperti mana dakwaan Datuk Ahmad Maslan. Jadi, siapa sebenarnya yang tidak faham?" tulis beliau.
Selain Dr Mohamad Agus, mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menyindir Ahmad dalam isu yang sama.
"Jika Tun M dikatakan tidak faham GST, apakah rakyat Malaysia yang hampir kesemua mereka tidak lebih berpengalaman tentang ekonomi negara dari Tun M akan lebih faham tentang GST?
"Jika orang yang dianggap oleh majoriti rakyat Malaysia sebagai 'kurang cerdik' (mengelakkan perkataan bodoh) disebabkan kenyataan-kenyataannya tentang GST, dia menyatakan Tun M yang terkenal dengan kepintarannya itu tidak faham GST, apakah si pembuat kenyataan itu lebih bijak dibandingkan Tun M?" soal beliau menerusi laman Facebooknya hari ini.
Dr Mohamad Agus dan Dr Mohd Asri mengulas kenyataan Ahmad yang mendakwa Dr Mahathir masih belum memahami sepenuhnya maksud GST sehingga dilihat mahu mengekalkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang jelas lebih tinggi cajnya kepada rakyat.
Dalam nada yang lebih sinis, Dr Mohd Asri berkata mereka yang dilihat oleh rakyat sebagai kurang cerdik tidak sepatutnya diberikan tugas penting.
"Saya terfikir, dalam fekah orang yang safih (bodoh atau kurang cerdik), tidak boleh diserahkan pengurusan harta sekalipun miliknya sendiri. Persoalannya, apakah mereka dalam kategori ini boleh diserahkan urusan negara yang membabit rakyat yang ramai?
"Patutkah golongan sufaha (kata banyak untuk safih iaitu bodoh ataupun kurang cerdik) diserahkan kepada mereka jawatan penting seperti menteri dan seumpamanya?" soal Dr Mohd Asri.
No comments:
Post a Comment