Kita sering lupa bahawa Allah SWT pencipta alam semesta telah mencipta segalanya dimuka bumi ini berpasang-pasangan. Misalnya lelaki dan perempuan, siang dan malam, serta keadaan persekitaran seperti panas dan sejuk, sakit dan sihat, kemarau dan hujan, bumi dan langit, kaya dan miskin, bodoh dan pandai. Keadaan yang sedemikian mempunyai hikmah yang tersendiri agar sering melengkapi dan menjadikan alam semesta ini ciptaan Allah SWT yang sempurna.
Dalam keadaan lupa itu, sudah terbiasa ketika kita melepaskan marah dan geram, menunjukkan rasa benci dan meluat terhadap seseorang kita akan mengeluarkan kata-kata yang kesat dan kurang enak didengar. Kenapa terjadi sedemikian? Ianya adalah disebabkan bahawa kita lupa dalam diri manusia itu juga telah Allah SWT ciptakan kelebihan dan kekurangan. Kemarahan, kebencian dan perasaan negatif adalah berdasarkan kekurangan atau keburukan pada manusia yang kita marah dan benci itu tanpa ada rasa kasihan, menilai dan mengimbanginya dengan kelebihan dan kebaikkannya.
Harus difahami bahawa kelebihan yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT itu bertujuan agar manusia sentiasa bersyukur dan menjadikan manusia lebih 'tawadhu' atau merasa rendah diri dan bukannya bersikap sombong dan bongkak. Disebaliknya kekurangan itu bukan untuk dikesali atau ditangisi tetapi bertujuan untuk mengajar manusia agar bersabar dan redha keatas apa jua pemberian tuhan. Pada masa yang sama berusaha untuk memperbaiki diri, memaksimakan potensi diri agar dapat mengimbangi atau menutup kelemahan atau kekurangan diri.
No comments:
Post a Comment